㽶Ƶ

Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2025

PUTRAJAYA, 18 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa pelaksanaan dasar paparan harga ubat di klinik swasta bukan bertujuan untuk mengawal harga, sebaliknya bagi memastikan ketelusan kepada pengguna.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata dasar tersebut penting bagi memberikan akses kepada maklumat harga ubat, sekali gus membolehkan rakyat membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan keperluan masing-masing.

“Apa yang kita lakukan di sini adalah untuk memaparkan harga ubat supaya rakyat ada akses kepada maklumat, dan dapat membuat pilihan. Kita tidak, melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP), menetapkan berapa harga ubat yang perlu dijual.

“Tidak. Juallah ikut harga kehendak masing-masing, tetapi yang penting ialah paparkan supaya rakyat boleh melihat dan membuat pilihan tersebut,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Penguat Kuasa Ke-53 di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan dasar tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (㽶Ƶ) serta Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia selari dengan peraturan sedia ada.

Jelasnya, langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban serta memperkukuh hak pengguna dalam sektor kesihatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya akan melancarkan Ops Gasak, bertujuan membanteras penyelewengan gas memasak bersubsidi di seluruh negara bermula 1 Mei ini.

Armizan berkata, operasi itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) yang diperkenalkan bagi menangani isu ketirisan barangan kawalan dan barangan bersubsidi secara menyeluruh.

Ops Gasak akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).