Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional dakwa skim insurans itu tidak nyata maklumat penting, hanya ‘keistimewaan’ seperti pampasan 400%
PETALING JAYA: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menasihatkan warga emas berhati-hati dengan tawaran insurans menjanjikan pelbagai ‘keistimewaan’ termasuk pampasan sehingga 400%.
Pengurus Kanannya Saral James Maniam mendakwa, iklan insurans itu yang kini giat dipromosikan juga menawarkan bayaran bulanan rendah serta manfaat kematian dan matang 100%.
Katanya, syarikat terbabit cuba meyakinkan orang ramai dengan meletakkan ayat seperti 100% diterima tanpa syarat dan tiada pemeriksaan kesihatan selain melindungi penyakit kritikal seperti diabetes, kanser dan jantung.
Namun, katanya di sebalik janji manis itu tersembunyi pelbagai risiko berikut menjerat pengguna terutama sasaran warga emas berusia 50 hingga 70 tahun yang mungkin tidak menyedari perjanjian ditandatangani mereka.
Saral berkata, kesangsian timbul kerana tidak dinyatakan maklumat tempoh menunggu, pengecualian perlindungan atau situasi di mana tuntutan mungkin ditolak.
“Istilah ‘tiada pemeriksaan kesihatan, mungkin kelihatan memudahkan tetapi juga bermakna penilaian sebenar terhadap kesihatan pemohon tidak dilakukan dengan teliti dan membuka ruang kepada penolakan tuntutan pada masa hadapan.
“Lebih membimbangkan risalah itu bermain emosi. Ia menyebut penyakit serius seperti kanser, diabetes dan serangan jantung tanpa memberikan penjelasan lanjut.
“Ia boleh beri harapan palsu kepada warga emas atau ahli keluarga, seolah-olah mereka dapat perlindungan segera dan penuh walaupun penyakit itu telah sedia ada,” katanya menasihatkan pengguna membuat aduan.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi kerajaan seperti Bank Negara (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selain Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) memantau penyebaran iklan mengelirukan terbabit.
Menurutnya, sudah ada undang-undang untuk mencegah perkara itu seperti Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang secara jelas melarang sebarang bentuk pengiklanan mengelirukan atau palsu.
“BNM pula melalui Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 mewajibkan semua penyedia insurans memberikan maklumat telus, lengkap dan benar selain mematuhi garis panduan ketat dalam mempromosikan produk insurans, terutama apabila melibatkan kumpulan rentan seperti warga emas.
“Liam juga menetapkan kod etika menekankan kejujuran, ketelusan dan integriti dalam menjual produk insurans,” katanya.