CAP Gesa Larangan Promosi Insurans di Bank – Persatuan Pengguna PenangGEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) melarang institusi kewangan daripada mempromosikan sebarang bentuk insurans, terutama berkaitan pelaburan di dalam premis mereka.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP menerima aduan ada pegawai bank mendekati pelanggan dalam premis bank bagi mempromosikan insurans berkaitan pelaburan sebagai 'pilihan pelaburan yang lebih baik dengan pulangan lebih tinggi berbanding simpanan atau deposit tetap'.

Katanya, dalam kebanyakan kes, pelanggan tidak dimaklumkan mereka sedang ditawarkan insurans berkaitan pelaburan yang memerlukan pembayaran premium dalam tempoh beberapa tahun.

"Dalam satu kes, seorang wanita mendakwa dia sudah memberitahu pegawai bank bahawa dia enggan membeli sebarang insurans kerana hampir bersara dan mempunyai simpanan terhad.

"Pegawai bank itu meyakinkannya bahawa ia hanyalah 'Pelan Simpanan' yang dikunci selama lima tahun dan kerana menyangka ia produk deposit tetap yang baharu, wanita itu bersetuju sebelum diberi satu timbunan dokumen dengan cetakan halus bagi ditandatangani.

"Selepas tahun kelima, wanita itu cuba mengeluarkan 'simpanannya' tetapi diberitahu dia hanya menerima sebahagian kecil daripada apa yang sudah dibayar.

"Tambahan pula dia dimaklumkan perlu terus membayar premium tahunan untuk 30 tahun akan datang, sekali gus akan mengurangkan simpanan persaraannya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohideen berkata, berdasarkan jumlah aduan diterima termasuk yang didokumenkan Ombudsman bagi Perkhidmatan Kewangan (kini dikenali sebagai Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan, FMOS), penjualan mengelirukan seperti ini mungkin sebahagian kecil daripada masalah sebenar.

Katanya, terdapat juga kes tidak masuk akal, apabila polisi insurans dijual kepada warga emas yang jelas tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar premium.

"Dalam kes ini, pelanggan diminta mendaftar bagi kemudahan auto-debit dengan bank dan tempoh polisi itu mungkin melebihi jangka hayat pemegang polisi.

"CAP berpendapat jika bank ingin bertindak sebagai ejen kepada syarikat insurans, ia sepatutnya beroperasi daripada premis berasingan, bukan dalam bank itu sendiri.

"Menjalankan promosi sedemikian dalam bank memberi tanggapan mengelirukan kepada pelanggan bahawa bank menawarkan produk simpanan dan ia juga menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan maklumat perbankan pelanggan.

"Jadi, BNM perlu pastikan produk seperti ini tidak dipromosikan kepada orang ramai terutama warga emas.," katanya.